Monday 5 December 2011

Tahukah Anda apa itu Kata Nama Khas & Kata Nama Am?

Kata Nama Khas merujuk secara khusus kepada sesuatu nama orang, haiwan, benda, institusi, undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya.  Dalam tulisan, huruf perkata Kata Nama Khas ditulis dengan huruf besar.  Kata Nama Khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kata Nama Khas Hidup dan Kata Nama Khas Tidak Hidup (Jalur Gemilang, Proton Saga).  Kata Nama Khas hidup pula boleh dibahagikan lagi kepada Kata Nama Khas Hidup Manusia (Fatimah, Profesor Ahmad) dan Kata Nama Khas Hidup Bukan Manusia (Tompok, Belang).

Kata Nama Am perkataan yang merujuk kepada benda (komputer, orang, kereta), perkara (iklim, roh, udara) atau konsep yang umum sifatnya (kedamaian, keadilan).  Kata Nama Am boleh dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil berdasarkan ciri makna perkataannya, iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, institusi atau bukan institusi, konkrit atau abstrak, berbilang atau tak berbilang.  

No comments:

Post a Comment